Kurang 24 Jam: Suspek Rogol Remaja di Tawau Diberkas
- nabalunews
- Apr 20
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
20 April 2026
TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan polis kurang daripada 24 jam selepas laporan rogol dibuat membabitkan seorang remaja wanita di sebuah hotel di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, suspek dikesan dan ditahan di Kampung Pukat susulan laporan mangsa yang mendakwa dirogol di sebuah hotel di kawasan Kubota Central.
“Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas satu laporan polis dibuat berhubung kes rogol di sebuah hotel, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah berjaya mengesan dan menahan suspek bertempat di Kampung Pukat,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut beliau, mangsa yang dalam keadaan mabuk dan lemah telah dibawa seorang lelaki dari sebuah kelab malam di Kubota Central menaiki kenderaan pacuan empat roda ke hotel berkenaan. Di hotel, mangsa menyedari telah dirogol.
Polis memaklumkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol).
ACP Jasmin turut menasihati golongan wanita di daerah Tawau supaya sentiasa menjaga keselamatan diri, mengelak daripada bersendirian, dan berwaspada pada setiap masa serta di mana-mana sahaja.
Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.















Comments