Kurikulum baharu subjek Sejarah untuk Tahun 1, Tingkatan 1 diperkenal tahun depan
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

11 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah bermula tahun depan, membabitkan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pelaksanaan akan dijalankan secara berperingkat dengan diperluas kepada Tahun Dua dan Tingkatan Dua pada 2028.
"Berkenaan kurikulum (mata pelajaran Sejarah) yang sedang diguna pakai KPM, ia sememangnya akan digunakan untuk satu tempoh dan bila sampai masanya, kita akan memperkenalkan kurikulum bagi persekolahan baharu.
“Semakan kurikulum juga akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan. Maka untuk subjek atau mata pelajaran tertentu, semakan dari segi kurikulum boleh dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA- Muar) mengenai kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah serta jangka masa tertentu ditetapkan KPM untuk melakukan semakan semula kurikulum mata pelajaran itu.
Mengulas pandangan Syed Saddiq supaya KPM mengambil langkah berhati-hati untuk tidak memasukkan politik kepartian dalam silibus Sejarah, Kah Woh menegaskan kementerian komited memastikan kurikulum mata pelajaran itu kekal tepat, seimbang dan relevan.
"Sememangnya kementerian memastikan kurikulum Sejarah kekal relevan, pada masa sama dipastikan kandungan itu seimbang, bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian. Ini memang pendirian KPM," katanya.
Terdahulu, Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mencadangkan supaya perkembangan politik moden dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah antaranya gerakan Bersih, himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri, gerakan Reformasi dan Langkah Sheraton.
Kah Woh berkata, walaupun peristiwa tersebut adalah sebahagian daripada sejarah negara, sebarang pembangunan kurikulum akan dilaksana melalui proses yang telus dan berasaskan pandangan yang membabitkan pakar sejarah, ahli akademik serta institusi seperti Arkib Negara.
“Pada masa sama, sesi libat urus dengan guru, badan profesional dan masyarakat turut dilaksanakan bagi memastikan kandungannya kekal relevan dan tepat," katanya.


















Comments