Lebuh Raya Pan Borneo Bandar Serra – Bulatan Berungis Siap Suku ketiga Tahun 2026: KKR
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

11 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah bagi jajaran dari Bandar Serra ke Bulatan Berungis, Tuaran dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2026.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), jajaran sepanjang 11.7 kilometer itu merupakan sebahagian daripada Pakej Kerja (WP)08 melibatkan laluan Sepanggar ke Bulatan Berungis, dengan status kemajuan fizikal semasa direkodkan pada 87.78 peratus dan berjalan mengikut jadual yang dirancang.
Perkara itu dimaklumkan KKR dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan yang dikemukakan Datuk Seri Panglima Madius Tangau [UPKO - Tuaran] pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Dalam soalannya Madius meminta kementerian itu menyatakan bilakah lebuh raya Pan Borneo dari Bandar Serra menuju ke Bulatan Berungis di Tuaran akan siap sepenuhnya.
KKR memaklumkan, keutamaan pelaksanaan Projek LPB Sabah ketika ini adalah menyiapkan keseluruhan Fasa 1, dengan kemajuan fizikal bagi Fasa 1A dicatatkan pada tahap 86.54 peratus, manakala Fasa 1B pada 12.27 peratus.
“Sehingga kini, daripada keseluruhan pakej kerja LPB Sabah, sebanyak empat pakej kerja telah berjaya disiapkan dan dibuka kepada pengguna jalan raya,” jelas kementerian itu.
KKR memberitahu tempoh siap keseluruhan Projek LPB Sabah dijadualkan pada suku keempat 2028.
Sementara menunggu penyiapan sepenuhnya jajaran WP08, pihak kontraktor telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi memastikan jalan tersebut sentiasa berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk pengguna.
“Kementerian akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya Sabah bagi memantau tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Sabah dari semasa ke semasa, selain bersedia meneliti sebarang cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah merupakan projek berimpak tinggi dan antara projek keutamaan Kementerian Kerja Raya yang dilaksanakan bagi menambah baik jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah,” tambah KKR lagi.


















Comments