top of page

Projek ganti paip usang di tiga daerah di Sabah dalam fasa pelantikan perunding

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 1 min read

11 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kerja-kerja penggantian paip usang serta naik taraf paip transmisi dan agihan di tiga daerah di negeri itu iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan kini berada dalam fasa pra-pelaksanaan bagi pelantikan perunding.


Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek berkenaan melibatkan kos sebanyak RM200 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), melalui peruntukan secara pinjaman.


Menurutnya, ia merangkumi kerja menaik taraf paip jenis Mild Steel (MSCL) sedia ada bersaiz 300 milimeter (mm) hingga 450 mm sepanjang 27.1 kilometer (km) dan penggantian paip jenis Asbestos Cement (AC) kepada paip MSCL bersaiz 150 mm hingga 200 mm sepanjang 7.44 km.


“Status terkini, projek berada dalam fasa pra-pelaksanaan bagi pelantikan perunding. Perancangan dan pembangunan infrastruktur bekalan air di negeri Sabah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah.


“Pelaksanaan projek ini akan dilaksana serta dipantau rapi oleh Jabatan Air Sabah (JANS), selaras dengan fungsinya di bawah Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 selaku Pegawai Penguasa,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Ir. Shahelmey Yahya (GRS-Putatan) mengenai status kemajuan kerja penggantian paip usang dan penaiktarafan paip transmisi di daerah Putatan, serta pendekatan diambil untuk memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.


Jelas Abdul Rahman, bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual dan terma kontrak, Jabatan Bekalan Air mengadakan mesyuarat pemantauan setiap bulan bagi projek geran dan pinjaman.


“Selain itu, mesyuarat dan lawatan tapak ke projek-projek pinjaman di Sabah juga dilaksanakan secara berkala pada setiap tahun bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan agensi berkaitan bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual,” ujarnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page