SHMMP Tahun Baharu Cina 2026: 16 barang dikawal harga bermula 13 Februari
- nabalunews
- 13 minutes ago
- 2 min read

11 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 bermula 13 hingga 21 Februari ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim selama sembilan hari itu melibatkan tempoh empat hari sebelum perayaan sehingga empat hari selepas Tahun Baharu Cina yang disambut pada 17 Februari.
Menurut beliau, kementeriannya telah mengenal pasti 16 jenis barangan yang dikawal di bawah skim tersebut, namun jumlah barangan kawalan berbeza mengikut negeri.
“Sebanyak 16 barangan dikawal di Sarawak, 15 barangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala 14 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.
"Bagi SHMMP kali ini, empat barangan baharu ditambah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu sayur sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar serta bawang merah besar," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Armizan berkata, antara barangan keperluan utama yang dikawal termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang putih China, kobis bulat import, lobak merah dan putih dan ubi kentang China.
Turut tersenarai ialah halia tua import, kepak ayam serta daging dan perut babi, selain kawalan babi hidup di peringkat ladang.
Ujarnya, penetapan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah selain pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pemain industri.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP ditetapkan bagi mewujudkan situasi `menang-menang' agar pengguna dapat menikmati harga berpatutan manakala peniaga pula tidak terbeban dengan tempoh kawalan yang terlalu lama,” katanya.
Armizan berkata pegawai KPDN akan ditugaskan di lokasi strategik di seluruh negara seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan kepatuhan peniaga terhadap pelaksanaan skim tersebut.
Selain pelaksanaan SHMMP, katanya KPDN turut melaksanakan beberapa program khusus sempena sambutan perayaan ini yang berkait rapat dengan ikhtiar menangani kos sara hidup rakyat.
Antaranya ialah Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Tahun Baharu Cina 2026 yang dilaksanakan bermula 3 hingga 17 Februari ini, melibatkan sebanyak 920 lokasi jualan di seluruh negara dengan penawaran barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Tahun Baharu Cina 2026 menerusi laman web KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.














