- Wartawan Nabalu News
KUSKOP anjur Kongres Koperasi Kebangsaan tahun 2024 - Ewon
12 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menganjurkan Kongres Koperasi Kebangsaan pada tahun depan.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kongres khusus untuk koperasi itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan isu-isu berkaitan koperasi di negara ini, seterusnya mencari konsensus bagi memperkasakan gerakan koperasi.
“Saya mencadangkan supaya Kongres Koperasi Kebangsaan diadakan pada tahun depan. Sebagai persediaan, kementerian saya dan agensi-agensi di bawah kementerian seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA) serta Angkasa dan federasi koperasi di negara ini akan mengadakan perbincangan untuk menjayakan kongres ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Dialog Bersama 100 Koperasi Terbaik di negara ini, selepas Peluncuran Dasar Koperasi Negara (DaKoM) 2030, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kuskop Dato’ Sri Suriani Ahmad, Pegerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar dan wakil-wakil koperasi terbaik seluruh negara.
Ewon berharap, resolusi daripada kongres itu kelak akan membantu lebih 15,000 koperasi di seluruh negara agar lebih berdaya saing.
Mengenai koperasi sekolah, beliau berkata kementeriannya dan Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan untuk memperkasakan lagi koperasi sekolah.
Pada sesi dialog itu, seramai 15 wakil koperasi menyatakan pandangan dan cadangan masing-masing bagaimana memperkasakan gerakan koperasi di negara ini termasuk menggalakkan golongan belia menceburi perniagaan koperasi.
Comentarios