KUSKOP bantu 65,596 usahawan PMKS terjejas banjir di seluruh negara: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP bantu 65,596 usahawan PMKS terjejas banjir di seluruh negara: Ewon



9 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menangguhkan sejumlah RM128.6 juta pembayaran semula pinjaman mikro kredit dan pinjaman keusahawanan kepada seramai 65,596 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di beberapa negeri seluruh negara yang terjejas banjir pada 9 hingga 31 Disember 2022.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, hamper kesemua usahawan atau peminjam yang terjejas itu dari Kelantan dan Terengganu manakala selebihnya dari Pahang serta Sabah.


Beliau berkata, peminjam atau usahawan berkenaan yang membuat pinjaman melalui agensi-agensi di bawah KUSKOP iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia(AIM), SME Corp Malaysia, TEKUNNasional, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) boleh memohon penangguhan sehingga tempoh maksimum enam bulan.


“Penangguhan pembayaran semula pinjaman tersebut merupakan inisiatif kementerian bagi membantu meringankan tekanan dan bebanan yang dihadapi oleh koperasi, usahawan mikro, kecil dan sederhana di kesemua negeri yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Ewon berkata, kementerian itu juga melaksanakan program bantuan bakul makanan pasca-banjir di Kelantan dan Terengganu kepada seramai 1,100 keluarga isi rumah terlibat banjir melibatkan peruntukan sebanyak RM110,000.


Penyerahan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir ini akan dilaksanakan oleh Timbalan Menteri,Senator Saraswathy Kandasami bersama agensi-agensi Kementerian pada 13 Januari ini di kedua-dua negeri tersebut.



bottom of page