KUSKOP, Kerajaan Sabah Perkukuh Kerjasama Bangunkan PMKS dan Koperasi
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

21 Ogos 2026
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memantapkan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta sektor koperasi di negeri ini.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.
Mohamad berkata, pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan menerusi KUSKOP dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi.
Katanya, antara usaha yang dilaksanakan KUSKOP termasuk menyediakan ruang niaga bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penjaja dan usahawan kecil di negeri ini.
“KUSKOP komited untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memperluas peluang keusahawanan serta membantu PMKS dan koperasi berkembang dengan lebih mampan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menjemput Hajiji untuk merasmikan majlis penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Sabah yang akan berlangsung selama tiga hari, dari 23 hingga 25 Oktober depan di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, Ketua Menteri dijadual menyempurnakan majlis penutupan karnival itu pada 25 Oktober, dengan penganjuran berkenaan dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung.
Kunjungan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal serta wakil TEKUN Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Bank Rakyat.















Comments