KUSKOP komited bantu kontraktor bumiputera: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP komited bantu kontraktor bumiputera: Ewon

20 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koprasi (KUSKOP) komited membantu dan mengalakan penglibatan syarikat-syarikat kontraktor bumiputera dalam projek-projek kerajaan.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya menerusi Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) menyediakan bantuan iaitu Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK).


Beliau berkata, skim itu adalah antara inisiatif kerajaan memberi bantuan berbentuk wang pendahuluan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera gred G1-G5 untuk memulakan kerja kontrak / inden kerja Persekutuan yang diperolehi daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


“Sehingga Jun tahun ini, sebanyak lima syarikat telah diberikan kelulusan pembiayaan melibatkan dana agihan sebanyak RM 1,515,900.

“Usaha Kerajaan ini telahpun diperhalusi dan dilaksanakan dengan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan khususnya golongan Bumiputera bertepatan dengan teras satu MADANI iaitu memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi kejayaan kontraktor bumiputera,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Seminar Pembangunan Kapasiti Kontraktor Negeri Sabah “Pemasaran Digital: Memperluas Jaringan Perniagaan Kontraktor Bumiputera Dalam Industri Binaan Negara Melalui Media Sosial”, anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), di Hotel Raia, di sini, hari ini.


Katanya, daripada jumlah itu, 71,907 kontraktor telah diberi pengiktirafan Sijil Taraf Bumiputera oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan sebanyak 65,404 kontraktor gred G1.

“Jumlah pendaftaran bagi gred G1 yang lebih tinggi berbanding gred yang lain membuktikan hasil usaha kerajaan dalam meningkatkan penglibatan generasi muda dalam industri pembinaan,” katanya.


Ewon berkata, seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini, PKK telah menyusun pelbagai kursus sepanjang tahun ini untuk meningkatkan dan memperkasakan lagi kemahiran dikalangan kontraktor dalam sektor pembinaan.


“Ini sekaligus membuka lebih banyak peluang kepada golongan kontraktor untuk terlibat sama dalam perolehan kerja yang ditawarkan oleh kerajaan.


“Seminar yang dianjurkan pada hari ini menunjukkan kerajaan komited memastikan jaringan perniagaan kontraktor Bumiputera terus kekal mampan dan berdaya saing melalui pendedahan kepada asas dan teknik pemasaran berkesan melalui media sosial.

“KUSKOP melalui PKK sentiasa bersedia dan berusaha membantu usahawan dengan mewujudkan pelbagai program dan jalinan kerjasama agar pembangunan usahawan dapat diperkukuhkan lagi di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya.


Ewon berkata, PKK bukan hanya bertanggungjawab menyediakan kursus kalangan kontraktor Bumiputera tetapi turut berperanan dalam penarafan syarikat Bumiputera bagi perolehan kerja Kerajaan.


“PKK juga berusaha membentuk jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan agar kontraktor Bumiputera tidak terpinggir ekoran cabaran arus ekonomi yang semakin pesat membangun,” katanya.


Turut hadir Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dr. Noriman Rojulai, Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Negeri Sabah Rosmen Ag. Hassan, pegawai-pegawai kanan kementerian, ketua-ketua agensi Kuskop dan presiden-presiden persatuan kontraktor bumiputera.

Ewon berkata, setakat Jun tahun ini, sebanyak 128,528 syarikat berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi semua Gred di seluruh negara.

bottom of page