top of page

KUSKOP pacu PKS ke peringkat global di Osaka, RM115.3 juta potensi pelaburan direkodkan

  • nabalunews
  • Jul 18, 2025
  • 2 min read

18 Julai 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya menutup tirai Minggu KUSKOP di Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka, Kansai, Jepun dengan pencapaian memberangsangkan.


Misi perdagangan strategik sempena Minggu KUSKOP yang berlangsung selama enam hari sehingga 28 Jun lalu mencatatkan jumlah jualan sebenar sebanyak RM17.4 juta serta potensi jualan dan pelaburan sebanyak RM115.3 juta.


Ia menjadikan jumlah keseluruhan direkodkan bernilai RM132.7 juta yang mana pencapaiannya telah melepasi sasaran awal iaitu sebanyak RM51 juta.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan KUSKOP memaklumkan, pencapaian utama misi itu adalah termasuk lapan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan nilai keseluruhan sebanyak RM15.7 juta termasuk pelancaran 10 produk baharu.


Katanya, ia termasuk usaha promosi dan jualan produk oleh syarikat Malaysia di Pavilion Malaysia yang mendapat sambutan baik daripada pembeli dan pengunjung ekspo.


“Selain itu, misi ini turut merangkumi lawatan kerja ke kilang pusat penyelidikan dan eksplorasi pasaran serta sesi jaringan bersama usahawan dan organisasi perniagaan Jepun untuk memahami potensi dan keperluan pasaran tempatan dengan lebih mendalam.

“Misi turut disertai 38 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan lima koperasi Malaysia merangkumi sektor utama seperti kesihatan, peranti perubatan, PKS halal, francais, makanan dan minuman (F&B) serta gaya hidup sihat,” katanya.


Menurutnya, pelbagai aktiviti perniagaan telah dianjurkan termasuk lapan sesi padanan perniagaan dengan lebih 179 mesyuarat perniagaan, sesi pitching, seminar, pocket talk, pameran produk dan demonstrasi masakan.


Katanya, jaringan dan akses pasaran tidak terhad hanya kepada pelaburan di Jepun saja, malahan turut dimanfaatkan dengan mesyuarat perniagaan dan sesi perjumpaan bersama pemain-pemain industri dari Pakistan, Kenya, Belanda, China, Vietnam, Hong Kong dan negara-negara lain yang turut serta dalam Ekspo 2025 Osaka ini.


“Program ini bukan hanya berfokuskan kepada aktiviti di Pavilion Malaysia malah turut dilaksanakan melalui kerjasama Dewan-Dewan Perniagaan dan Industri serta komuniti perniagaan di Osaka.

“Pencapaian melepasi sasaran jualan yang ditetapkan serta kejayaan menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan pelancaran produk baharu membuktikan bahawa usahawan Malaysia mempunyai daya saing yang tinggi serta berkeupayaan menembusi pasaran antarabangsa.


“Kejayaan ini mencerminkan kualiti, inovasi produk serta perkhidmatan berkualiti di mata dunia. KUSKOP komited untuk terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara dengan membuka lebih banyak peluang di peringkat global bagi memastikan syarikat tempatan kekal relevan, berdaya saing dan berkembang secara mampan,” katanya.


Menurutnya, pelaksanaan misi perdagangan ini selari dengan hasrat Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, pembangunan inklusif dan kesejahteraan melalui pengukuhan hubungan ekonomi antarabangsa.


Tamat

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page