KUSKOP Perkukuh Agenda Penskalaan PMKS, Sasar 5 Peratus Syarikat Sederhana Menjelang 2030
- nabalunews
- Aug 20
- 2 min read

20 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkukuh agenda penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara serta membentuk ekosistem keusahawanan yang berdaya tahan dan berdaya saing.
Sasaran itu ditetapkan bagi meningkatkan peratusan syarikat bersaiz sederhana dalam keseluruhan komposisi PMKS kepada 5 peratus menjelang 2030, berbanding hanya 1.8 peratus pada 2023.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, sntara inisiatif utama yang dikenal pasti sebagai pemacu agenda ini termasuk menggalakkan penglibatan PMKS dalam aktiviti bernilai tambah tinggi.
Selain itu katanya, kementerian turut memperluas penglibatan dalam model perniagaan disruptif, meluaskan keterlibatan dalam rantaian nilai global serta meningkatkan penyenaraian syarikat PMKS di papan pasaran.
“KUSKOP turut memberi tumpuan terhadap pembangunan PMKS dalam industri halal melalui Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) yang merangkumi pembangunan kapasiti industri dan produk halal, inovasi teknologi halal serta program pengantarabangsaan usahawan halal.
“Bagi memperkukuh penyertaan usahawan Bumiputera, pelbagai program dilaksanakan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Antaranya ialah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP), Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) dan Business Export Programme (BEP), Program Bumiputera Rapid Acceleration & Value Enhancement (BRAVE), Program Jaguh Serantau serta Program Pembangunan Vendor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13, di Dewan Rakyat, hari ini.
Ewon berkata, bagi pemerkasaan gerakan koperasi negara dalam sektor ketiga, Kerajaan turut memberi perhatian kepada pemerkasaan koperasi termasuk Koperasi Permodalan FELDA (KPF), koperasi peneroka FELDA, koperasi desa serta koperasi veteran tentera.
Katanya, sepanjanh tahun 2025, sejumlah peruntukan besar disediakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) termasuk RM100 juta bagi Tabung Modal Pusingan (TMPSKM), RM4.75 juta untuk PPMK 2.0, RM2 juta bagi SCOPE serta RM3 juta melalui program SE.RASI.
“Selain itu, usaha juga digerakkan untuk memperkasa perusahaan sosial (SE) melalui Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030).
“Sehingga Ogos 2025, 520 entiti perniagaan termasuk PMKS dan koperasi telah menerima penarafan sebagai perusahaan sosial,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai polisi dan dasar baharu RMK-13, Ewon berkata, KUSKOP akan terus komited sebagai peneraju utama pembangunan PMKS.
Menurutnya, ia menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, serta Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) untuk penyelarasan di peringkat negeri.
Katanya, dasar baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan mengutamakan produk dan perkhidmatan “Made by Malaysia” dalam perolehan kerajaan, menjamin penyertaan PMKS dalam projek pelaburan asing serta memperkasa usahawan mikro termasuk di kawasan sempadan.
“Begitu juga dengan adaptasi digitalisasi, beberapa inisiatif diperkenalkan termasuk Studio TikTok Shop oleh TEKUN Nasional, SME Technology Transformation Fund (STTF) oleh SME Bank, Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT), serta platform MyMall oleh KUSKOP.
“Di samping itu, usahawan turut dibimbing menembusi pasaran antarabangsa melalui program seperti Business Exports Programme (BEP) 3.0, SMEs Go Global, Galakan Eksport Bumiputera (GEB), serta penyertaan dalam Ekspo 2025 Osaka, Kansai.
“Bagi memudahkan akses pembiayaan, agensi pembiaya seperti TEKUN, AIM, Bank Rakyat, SME Bank, Pernas dan SME Corp. turut melaksanakan pelbagai penambahbaikan proses termasuk permohonan lebih ringkas serta tempoh kelulusan lebih cepat,” katanya.
Ewon berkata, selaras dengan pelaksanaan e-Invois, KUSKOP melalui INSKEN, SME Corp. dan TEKUN bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk memberi bimbingan kepada PMKS meningkatkan kecekapan kewangan serta pematuhan percukaian.


















Comments