KUSKOP perkukuh pembangunan francais halal melalui inisiatif PERNAS di Sabah
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 2 min read

11 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh pembangunan francais halal melalui pelbagai inisiatif bersama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan berdaya saing, termasuk di Sabah.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata Halal Franchise Conference 2025 merupakan platform penting bagi menghimpunkan usahawan, agensi kerajaan dan pakar industri untuk berkongsi pandangan serta memperkukuh jaringan ke arah memperluas pasaran francais halal negara.
“Program ini amat bermanfaat kepada para usahawan dan bakal usahawan, khususnya di Sabah. Ia juga merupakan lanjutan kepada siri Program Halal KUSKOP 2025 yang telah dilaksanakan sejak Februari lalu di Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur,” katanya ketika.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program anjuran PERNAS di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.
Ewon berkata, matlamat utama program itu adalah untuk membantu usahawan mendalami potensi industri halal serta membangunkan perniagaan berkonsepkan francais, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa sektor halal sebagai pemacu ekonomi negara.
Menurutnya, sejak pelancaran Program Pembangunan Halal Success KUSKOP–PERNAS 2025, impaknya amat positif kepada golongan usahawan tempatan dengan penyertaan lebih 1,000 peserta di seluruh negara, termasuk lebih 500 peserta dari Sabah.
“Pelbagai bentuk bantuan telah disediakan, antaranya bimbingan pematuhan pensijilan halal bagi membantu usahawan mendapatkan sijil halal melalui kursus, konsultasi dan pembiayaan kos pensijilan.
“Lebih 200 syarikat telah dibimbing oleh rakan strategik JAKIM dan hampir kesemuanya telah menghantar permohonan sijil halal, manakala lebih 50 syarikat berjaya memperoleh Pensijilan Halal Malaysia,” katanya.
Ewon berkata, bantuan pembangunan kapasiti produk turut diberikan meliputi penjenamaan, pembungkusan, pelabelan dan pembangunan prototaip produk halal.
Sebanyak 76 syarikat telah menerima bantuan geran bernilai maksimum RM30,000 bagi setiap syarikat.
Selain itu, Program Pembangunan Teknologi dan Inovasi turut membantu usahawan mempertingkat operasi melalui penggunaan mesin moden dan digitalisasi, dengan 47 syarikat telah diluluskan geran bernilai maksimum RM100,000 setiap satu.
Dalam masa sama, Program Pengantarabangsaan Produk Halal membantu 143 syarikat ‘export ready’ menembusi pasaran luar negara menerusi penyertaan pameran antarabangsa, sekali gus membawa jenama halal Malaysia ke pentas dunia.
Ewon berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi hab utama francais halal di Malaysia Timur memandangkan negeri itu mempunyai sumber semula jadi yang melimpah dan kedudukan strategik di rantau ASEAN.
“Setiap kejayaan besar bermula daripada langkah kecil di peringkat tempatan. Program Halal KUSKOP dirangka untuk membantu usahawan memahami piawaian halal, membangunkan produk, memperkukuh penjenamaan dan strategi perniagaan sebelum melangkah ke pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau yakin, penganjuran Halal Franchise Conference 2025 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri francais halal yang lebih mampan, berdaya saing dan berupaya menembusi pasaran global.