KUSKOP sedia beri pertimbangan penangguhan bayaran balik pinjaman AIM kepada mangsa banjir - Ewon
25 Disember 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementerian itu sedia memberi pertimbangan penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan kepada peminjam atau sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional di seluruh negara yang terjejas banjir.
AIM dan Tekun Nasional adalah dua daripada 10 agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Ewon berkata, penangguhan pembayaran balik pinjaman itu bertujuan untuk meringankan bebanan para peminjam yang terkesan banjir dan memberikan mereka masa untuk mengurus hal-hal berkaitan kecemasan.
“Dalam suasana kegembiraan menyambut perayaan Krismas, saya maklum beberapa negeri terutamanya di Kelantan dan Terengganu dan Kota Belud terjejas banjir.
“Kita simpati dengan situasi dan nasib yang menimpa mereka. Sebab itu, kita menangguhkan pembayaran balik pinjaman para peminjam AIM dan TEKUN Nasional yang terjejas banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra sempena sambutan Krismas Menteri KUSKOP Bersama Usahawan Parlimen Penampang di Pusat Kebudayaan Sabah di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, selain AIM dan TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga telah mewujudkan Tabung Bencana Kecemasan Koperasi untuk membantu koperasi-koperasi yang terjejas banjir.
Mengenai sambutan itu, Ewon berkata, sambutan Krismas merupakan antara wadah terbaik penyatuan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, ini kerana amalan rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi akan mengeratkan lagi perpaduan, menjalin persefahaman serta mengukuhkan silaturahim.
Beliau berkata majlis ramah mesra Krismas itu turut dihadiri para pemimpin kerajaan negeri, sekali gus menunjukkan keakraban para pemimpin kerajaan Perpaduan persekutuan dan kerajaan negeri.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Datuk Haji Zamri Salleh, OCPD Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim dan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Yahya Hussin.
Pelbagai acara menarik disusun sempena majlis itu, termasuk persembahan pentas melibatkan enam kumpulan koir iaitu Wanita UPKO Penampang, Belia St. Joseph Pogunon, Kumpulan Catholic Community Four (KCC4), Belia Gereja Katolik Madsiang, Kumpulan Koir Limbanak dan Our Lady Queen of Peace Catholic, Kobusak.
Selain itu, agensi-agensi di bawah KUSKOP yang terlibat dalam pameran ialah Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), IKMa, INSKEN, UDA Holdings Berhad, SME Corp. Malaysia, PERNAS dan AIM.
Comments