KUSKOP sedia inisiatif keusahawan khusus untuk belia: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP sedia inisiatif keusahawan khusus untuk belia: Ewon

7 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


AYER KEROH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensi di bawahnya menyediakan inisiatif keusahwanan melalui pelbagai program khusus untuk golongan belia termasuk golongan siswazah di seluruh negara.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, program-program itu ialah Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Belia Ke Koperasi, Skim Pembiayaan Ekonomi dan Skim Pembiayaan Sosial, Pembiayaan Kepada Belia, Young Entrepreneur Fund 2.0 (YEF 2.0) dan UDA4Youth.


Beliau berkata, Program TUBE dilaksanakan di bawah SME Corp. bertujuan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan belia bumiputera, manakala Program Belia Ke Koperasi pula dilaksanakan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMA) bertujuan menarik minat golongan belia berkhidmat dalam gerakan koperasi.


“Bagi memperkasa dan meningkatkan sosioekonomi usahawan dalam kalangan belia, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyediakan Skim Pembiayaan Ekonomi dan Skim Pembiayaan Sosial.


“Selain itu, Pembiayaan Kepada Belia oleh TEKUN pula menyediakan modal pembiayaan secara mudah dan cepat untuk usahawan belia.


“Young Entrepreneur Fund 2.0 (YEF 2.0) oleh SME Bank membantu dan menyokong usahawan muda meningkatkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi dan kekal berdaya maju; dan UDA4Youth di bawah UDA Holdings menyediakan ruang niaga untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS ) dan skim latihan kepada usahawan PMKS,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan Kerja ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), di sini, hari ini.


Ewon berkata, selain itu kementeriannya juga telah melancarkan pelbagai program dan inisiatif sama ada dalam bentuk latihan, pembiayaan dan pinjaman perniagaan untuk memberi manfaat kepada usahawan pemula dan para graduan.


“Antaranya, Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) ditubuhkan bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan potensi kebolehpasaran dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan menganggur dan terbuka kepada graduan pelbagai bidang pengajian,” katanya.


“Inisiatif keusahawanan di bawah PROTÉGÉ ialah Program Latihan Intensif dalam Talian bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE), Usahawan Perantis (SPACE), Latihan Penempatan Kerjaya Bagi Graduan TVET dan Program Anjakan Minda Keusahawanan Graduan (PANDU).


“Ini merupakan program-program keusahawanan khusus untuk golongan muda bagi membantu KUSKOP mendokong objektif Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), mencipta lebih ramai “job creator” dan meramaikan lagi ‘Bangsa Usahawan’ menjelang 2030,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berharap usahawan-usahawan belia termasuk graduan merebut peluang yang disediakan kerajaan khususnya kementeriannya.


Sempena lawatan itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menganjurkan Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) yang disertai 300 pelajar UteM, bertujuan membimbing bakal usahawan asas dropship dan ejen serta menggalakkan peserta memulakan bisnes.


Ewon berharap lebih banyak program seumpama itu diadakan bagi menarik penyertaan golongan muda terutamanya graduan.


Pada majlis itu SME Corp dan UteM menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama erat meningkatkan kemahiran dan bakat pelajar dalam bidang keusahawanan, mempromosi aktiviti, program dan inisiatif yang dijalankan oleh SME Corp.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Corp Malaysia Rizal Nainy, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UTeM Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, ketua-ketua agensi kementerian dan pegawai-pegawai kanan UTeM.

bottom of page