KUSKOP sediakan peruntukan RM100,000 untuk Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP sediakan peruntukan RM100,000 untuk Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan

Ewon (dua dari kanan) mendengar taklimat ringkas daripada Jobit.

9 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PITAS: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan untuk membina sebuah pusat pemprosesan sarang burung walit di Kampung Sinukab Kanibongan.


Beliau berharap peruntukan yang akan disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu dapat membantu koperasi dan ahli-ahli koperasi meningkatkan pendapatan.


“Saya percaya perusahaan sarang burung walit ini boleh memberikan pendapatan kepada ahli-ahli koperasi sekiranya diusahakan dan diurus dengan baik,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Mini Pemprosesan Sarang Walit milik Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan.


Turut hadir Ahli Parlimen Kudat Dato’ Verdon Bahanda, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin dan para pemimpin masyarakat setempat.


Sementara itu Pengerusi Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Rosli Sulampung merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas pengumuman geran pembangunan RM100,000 untuk koperasi itu.


“Bagi pihak pengurusan koperasi saya amat berbesar hati dan bersuka cita kerana Datuk Ewon meluluskan peruntukan sejumlah itu untuk membolehkan kami membina sebuah kilang memproses sarang walit.


“Ini amat bermakna bagi kami untuk terus memajukan koperasi dan membantu meningkatkan pendapatan ahli koperasi seramai 145 orang,” katanya.


Terdahulu itu Ewon diberikan taklimat ringkas mengenai industri burung walit di Sabah khususnya di Kanibongan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Walit dan Aneka Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Jobit Sukangi.


Jobit berkata, harga sarang burung walit amat lumayan, kategori Sarang Mangkuk (RM3,700 sekilogram), Patahan Besar (RM2,900) dan Kaki Sarang (RM1,900).


Selepas itu Ewon meneruskan lawatan kerja di Pitas dengan mengadakan kunjungan ke Asrama Avasi Kanibongan dan seterusnya merasmikan Program Memperkasa Belia dan Mensejahterakan Keluarga melalui ceramah keusahawanan daripada agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Program itu dianjurkan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Koperasi Keluarga Mailin Masipin Kanibongan Berhad, di Dewan Futsal Kg.Pantai Kanibongan.

bottom of page