KUSKOP umum pelantikan Pengerusi SKM, IKMa dan INSKEN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP umum pelantikan Pengerusi SKM, IKMa dan INSKEN

4 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Pengerusi Lembaga Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).


Pengumuman itu dibuat okeh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik sebagai Pengerusi SKM dan Tuan Haji Mustaffa Kamil Ayub dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah INSKEN berkuat kuasa 15 Mac 2024.


Manakala Tuan Onn Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi IKMa berkuat kuasa 1 Mei 2024.


Ewon berkata, kementerian yakin pelantikan ketiga-tiga pengerusi itu akan meneruskan kepimpinan agensi-agensi berkenaan dan seterusnya memacu kecemerlangan dalam merancakkan lagi agenda keusahawanan dan koperasi negara.


“Ini selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pembangunan Malaysia MADANI,” katanya.


Datuk Ahmad Norihan, mantan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysia, memulakan kerjayanya dalam Tentera Darat pada 15 Mei 1987 sebagai Ketua Platun di 302 Batalion Infantri (AW).


Beliau kemudian bertukar Kor ke Kor Risik DiRaja dan ditugaskan ke Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (sekarang dikenali sebagai Malaysian Defence Intelligence Organization).


Sejak itu, tempoh perkhidmatannya diwarnai dengan khidmat cemerlang yang melayakkan beliau memegang jawatan penting dalam pelbagai peringkat Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia.


Manakala Tuan Haji Mustaffa Kamil pula adalah mantan Pengerusi Akademi Pelatihan, Penerangan dan Penyelidikan Selangor (APSEL).


Beliau yang merupakan anak kelahiran Kampong Gajah, Pasir Salak, Perak memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Genetik dan Ijazah Sarjana Sastera (Sains Politik) di Universiti Kebangsaan Malaysia.


Tuan Onn merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat, Johor, sangat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan terlibat sepenuh masa dalam bidang politik dan perniagaan.


Selain itu, beliau memperoleh ijazah dalam kejuruteraan awam dari Oita National College di Jepun dan pernah berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini.

bottom of page