top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kutipan balik pinjaman bolehkan TEKUN bantu usahawan baharu - Ewon


9 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kutipan balik pinjaman daripada usahawan TEKUN Nasional membolehkan agensi itu membantu lebih ramai usahawan baharu.


Beliau berkata, sehingga 31 Oktober tahun ini sahaja, TEKUN Nasional telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM922.6 juta kepada 42,383 usahawan.


Katanya, walaupun tahun ini TEKUN diperuntukkan sejumlah RM430 juta iaitu RM330 juta (Belanjawan 2023) dan RM100 juta (Program Mikro Madani) bagi tahun 2023, namun agensi itu berjaya memberikan pembiayaan sehingga RM922 juta antaranya kerana hasil kutipan semula daripada usahawan yang membuat pinjaman daripada TEKUN.


“Ini bermakna, TEKUN Nasional berjaya memberikan pendidikan dan mengingatkan para peminjam untuk membayar balik pembiayaan mereka mengikut jadual yang ditetapkan seterusnya membuka peluang kepada usahawan-usahawan baharu membuat pinjaman,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, sini, hari ini.


Sementara itu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat yang bertanya sejauh mana kejayaan Skim Pembiayaan Orang Kurang Upaya (SP-OKU), Ewon berkata, ia mencapai matlamat berdasarkan kunjungannya ke premis-premis usahawan OKU.


“Saya yakin melalui kunjungan kepada usahawan OKU, mereka boleh berjaya dan pada saya kejayaan itu sepatutnya menjadi inspirasi kepada komuniti OKU yang lain untuk mendapatkan perkhidmatan dan pembiayaan seumpama itu.


“Tekun Nasional juga telah mempermudahkan proses permohonan selepas pandemik Covid-19 bagi menggalakkan lebih ramai usahawan mendapat manfaat daripada kesemua skim pembiayaan yang disediakan,” katanya.

Comments


bottom of page