Labuan bakal dapat bekalan gula tambahan – Armizan

16 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Bekalan gula tambahan sebanyak 118.90 metrik tan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia akan tiba di Labuan selewat-lewatnya Rabu ini, bagi menyelesaikan masalah kekurangan gula yang melanda pulau itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, berkata beliau telah mengambil tindakan segera selepas mendapat aduan rasmi daripada Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman mengenai gangguan bekalan gula di Labuan.
"Bekalan gula tambahan dari Pelabuhan Klang telah bergerak ke Labuan. Insya-Allah masalah ini akan pulih," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pertandingan akhir Debat Kepenggunaan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024 Piala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di Cyberjaya pada Isnin.
Terdahulu, masalah kekurangan gula di Labuan telah dilaporkan oleh sebuah portal berita dan pengguna di laman media sosial Facebook.
Beliau menjelaskan bahawa punca masalah itu adalah faktor kedudukan Labuan yang jauh dari lokasi punca bekalan gula, yang menyebabkan kesukaran dalam rantaian penghantaran bekalan.
Comments