top of page

Labuan IBFC: Memacu Era Baharu Kewangan Islam Digital

  • nabalunews
  • Oct 13
  • 3 min read

ree

13 Oktober 2025


LABUAN: Dalam Belanjawan MADANI 2023 hingga 2026, kerajaan secara konsisten menekankan kepentingan memperkasa sektor perkhidmatan bernilai tinggi, mengukuhkan inovasi kewangan dan memperdalam kerjasama ekonomi serantau.


Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC) merupakan salah satu tunjang utama dalam rangka strategi ini.


Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ricky Chia Chee Jiun berkata sejak tahun 2023, melalui pelan Membangun Semula Malaysia MADANI, kerajaan telah menetapkan arah untuk memodenkan ekosistem kewangan luar pesisir dan meningkatkan daya saing antarabangsa.


Pada tahun 2024, melalui Memperkukuh Ekonomi MADANI, fokus diberikan kepada pengukuhan kewangan Islam dan kewangan mampan (ESG Finance).


Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Mengukuh Keberdayaan Ekonomi MADANI’ menekankan pendigitalan dan kewangan hijau sebagai enjin pertumbuhan baharu negara.


Kini, Belanjawan 2026 membawa kesinambungan dasar tersebut dengan menempatkan Labuan IBFC sebagai Hab Kewangan Islam Digital Serantau (Digital Islamic Financial Hub), melambangkan fasa baharu dalam integrasi antara kewangan Islam dan teknologi digital negara.


Sejak penubuhannya pada tahun 1990, Labuan IBFC berfungsi sebagai pintu masuk kewangan antarabangsa Malaysia, menyediakan perkhidmatan merentasi sempadan termasuk perbankan, insurans, amanah dan pasaran modal.


Namun, sejajar dengan perubahan landskap global serta kemunculan teknologi seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan aset digital, Labuan IBFC kini sedang melalui gelombang transformasi kedua, daripada pusat kewangan luar pesisir tradisional kepada hab kewangan pintar yang dipacu inovasi digital.


Antara inisiatif utama yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 termasuk Global Tokenised Sukuk dan Sukuk Wakaf Tunai Tokenisasi dua langkah penting yang menandakan kemajuan besar dalam inovasi kewangan Islam.


Langkah ini bukan sahaja memperkenalkan kaedah pembiayaan berasaskan teknologi blockchain dan kontrak pintar yang lebih cekap dan telus, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena kewangan tokenisasi (tokenised finance) di peringkat global.


Dari sudut makro, hala tuju ini mencerminkan kesinambungan yang jelas dalam empat tahun terakhir: •Belanjawan 2023: Membina asas reformasi dan memperkukuh pemodenan kawal selia kewangan; • Belanjawan 2024: Mengintegrasikan kewangan Islam dengan piawaian ESG bagi menarik pelaburan hijau; • Belanjawan 2025: Menjadikan ekonomi digital dan fintech sebagai pemangkin pertumbuhan inovatif; • Belanjawan 2026:


Menterjemahkan hasil reformasi dengan menjadikan Labuan IBFC perintis hab kewangan Islam digital serantau.


Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, strategi ini amat signifikan.


Melalui pengukuhan rangka kerja kawal selia, infrastruktur digital dan pembangunan bakat tempatan, Labuan IBFC berpotensi menarik pelaburan strategik dari Asia Barat, China, Indonesia dan Singapura, sekali gus menjadi jambatan penting antara pasaran modal Timur dan Barat.


Pada masa yang sama, transformasi ini dijangka merangsang pertumbuhan sektor sokongan seperti fintech, audit, perundangan, perakaunan, penyelidikan blockchain dan latihan pendidikan, mewujudkan ekosistem kewangan bernilai tinggi yang mampan.


Lebih penting lagi, kebangkitan Labuan bukan sahaja kejayaan sektor kewangan semata-mata, tetapi turut membawa impak limpahan ekonomi yang berterusan kepada komuniti setempat.


Dengan pelaksanaan Projek Pembangunan Semula Labuan Waterfront, sinergi antara sektor kewangan, pelancongan, perdagangan dan pendidikan akan memperkukuh aktiviti ekonomi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjadikan Labuan hab serantau yang dinamik.


Labuan IBFC kini sedang beralih daripada “pusat kewangan luar pesisir” kepada “platform inovasi kewangan Islam digital”.


Transformasi ini mencerminkan enam nilai teras MADANI — Kemampanan (M), Kesejahteraan (A), Daya Cipta (D), Hormat (A), Keyakinan (N) dan Ihsan (I), yang membentuk asas kepada dasar pembangunan negara.


Nilai-nilai ini memperkukuh hala tuju baharu ekonomi Malaysia: berasaskan kejujuran, dipacu inovasi, dan berpaksikan rakyat.


Dengan gabungan dasar yang mantap, teknologi moden dan pelaksanaan yang berkesan, Labuan berpotensi menjadi enjin utama kewangan Islam digital di rantau ASEAN, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global dan pemacu kemakmuran ekonomi MADANI.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page