Laksana RUU Anti Lompat Parti, jangan hancurkan masa depan negara - Pemuda UPKO
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Laksana RUU Anti Lompat Parti, jangan hancurkan masa depan negara - Pemuda UPKO


10 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kecewa dengan tindakan kerajaan seolah-olah sengaja melambat-lambatkan pembentangan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti).


Ketuanya Felix Joseph Saang berkata, tindakan kerajaan seperti itu menimbulkan banyak persoalan daripada rakyat yang sememangnya mahu RUU Anti Lompat Parti dikuatkuasakan.


“Rakyat mendesak dan menuntut supaya RUU Anti Lompat Parti segera dibentang dan diluluskan.


“Apa niat Barisan Nasional (BN)/ Perikatan Nasional (PN) menangguhkan proses tersebut. Negara semakin ‘hancur’ dan menjadi bahan jenaka dunia disebabkan budaya ahli politik ‘lompat katak’.


“Hanya di Malaysia dimana parti-parti yang memenangi pilihan raya menjadi pembangkang dan parti yang kalah jadi kerajaan kerana budaya ‘lompat’,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melancarkan penubuhan Cawangan UPKO secara berkelompok di Paitan Sugut, hari ini.


Felix berkata, tiada faedahnya budaya ini diteruskan kerana ia hanya akan membawa banyak keburukan dan ketidakstabilan politik seterusnya menjatuhkan ekonomi negara.


Sebab itu katanya, RUU Pindaan Perlembagaan Anti Lompat Parti perlu segera dibentang dan diluluskan bagi mengelak lebih ramai ahli politik khususnya wakil rakyat yang tidak berpendirian ‘melompat’ untuk kepentingan sendiri.


“Kerajaan hari ini harus menghormati memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani bersama Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan politik.


"Rakyat harus bangkit dan menentang sekeras-kerasnya politik kotor demi menyelamatkan negara kita yang kini semakin parah. Laksanakan RUU Anti Lompat Parti, jangan hancurkan masa depan negara,” katanya.


Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan ditangguhkan buat kali kedua.


Bagaimanapun, semasa perjumpaan bersama para pemimpin utama Pakatan Harapan pada 5 April lalu, bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan RUU Anti Lompat Parti, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April 2022 seperti yang telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.


Pada majlis itu, Felix menerima 500 borang keahlian baru yang diserahkan oleh wakil pemimpin dari beberapa buah kampung.


Beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Paitan Sugut yang memilih UPKO sebagai satu wadah perjuangan.


“UPKO komited, telus dan fokus dalam memperjuangkan hak-hak serta kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

bottom of page