Laksanakan Saja Hak 40 Peratus Sabah – Madius
- nabalunews
- 5 days ago
- 2 min read

6 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan tuntutan pemberian 40 peratus hasil bersih yang dikutip di Sabah, seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Gesaan itu diulangi sekali lagi ketika membahaskan Usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat hari ini.
“Rundingan telah dibuat pada tahun 1963 sehingga terbentuknya Malaysia. Sepatutnya, kita sebagai generasi pewaris Perjanjian Malaysia 1963, laksanakan saja.
“Kenapa masih tertangguh?” katanya.
Presiden Kehormat UPKO itu turut mempersoalkan ke mana perginya komitmen kerajaan untuk melunaskan hak yang termaktub secara sah dalam Perlembagaan, dan mengingatkan bahawa rakyat Sabah tidak boleh terus menjadi mangsa kemiskinan akibat kegagalan pelaksanaan peruntukan kewangan yang dijanjikan.
Katanya, lebih 80 peratus hutang negara yang kini melebihi RM1.3 trilion dibelanjakan di Semenanjung, manakala Sabah yang menyumbang hasil negara pula tidak menerima agihan yang setimpal.
Situasi ini, jelas beliau, menjejaskan keupayaan negeri untuk membangun sektor utama seperti pertanian, perikanan, penternakan dan perindustrian selain kemudahan-kemudahan asas.
“Kalau Sabah diberi semula 40 peratus hasil seperti dalam Perlembagaan, kami tak perlu minta-minta lagi bajet dari pusat untuk bangunkan jalan, hospital, atau industri asas,” tegas beliau.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga mengingatkan bahawa kemajuan Malaysia sebagai ekonomi ke-30 terbesar dunia tidak akan tercapai sekiranya Sabah terus dinafikan hak perlembagaan.
“Kalau Sabah maju jaya, Malaysia pun akan melonjak. Tapi jika hak Sabah terus diketepikan, ia bukan saja tidak adil, malah menafikan asas pembentukan Malaysia itu sendiri.
“Kerajaan tidak memerlukan rundingan baharu, yang perlu hanyalah iltizam politik untuk melaksanakan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuaan selaku undang-undang tertinggi negara.
“Saya juga ingin bertanya tentang status pelaksanaan cadangan dan projek-projek yang dikemukakan dalam RMK-12 serta laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah yang sehingga kini tidak diberi maklum balas yang jelas,” ujar Madius lagi.
Comments