top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lapan daerah termiskin di Sabah perlu diberi tumpuan dalam pertanian: Jaujan


Jaujan (tengah) bersama Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan Jannie Lasimbang (Kapayan).

22 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan Datuk Haji Jaujan Haji Sambakong mencadangkan supaya lapan daerah di Sabah yang diisytiharkan sebagai daerah termiskin di Malaysia diberikan tumpuan dalam membangunkan sektor pertanian.


Beliau berkata, ini kerana kawasan-kawasan itu mempunyai tanah yang subur untuk menghasilkan pelbagai jenis tanaman termasuk tanaman buah-buah tropika.

“Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor pertanian tidak menyeluruh. Saya melihat, tumpuan hanya di kawasan-kawasan pertanian seperti di Keningau, Kuala Penyu dan Beaufort.


“Sedangkan daerah yang diistiharkan sebagai daerah termiskin di Malaysia seperti Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan kurang diberi tumpuan dalam membangunkan sektor pertanian.


“Justeru, saya mencadangkan perkara ini supaya dapat diberikan perhatian,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Jaujan berkta, sektor perikanan juga hendaklah diteliti secara menyeluruh.


Beliau berkata, walaupun pelan perancangan yang disediakan merangkumi keperluan para nelayan di negeri ini, namun pelaksanaan sasaran hendaklah diambil kira dan dilaksanakan secara teratur dan telus.


“Dalam membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Negeri Sabah. Dasar perancangan ini juga perlu diberi penilitian yang mana Kerajaan Negeri telah menyatakan untuk mewujudkan serta memperbanyakkan IKS tempatan.


“Saya menyarankan kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan geran perniagaan kepada pengusaha IKS sama ada bagi yang memulakan perniagaan atau kepada peniaga yang ingin mengembangkan perniagaannya.


“Geran Perniagaan ini hendaklah disertakan dengan latihan-latihan jati diri dalam mengurus dan mengenal pasti perniagaan yang akan diceburi supaya selaras dengan syarat-syarat perniagaan dalam perancangan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.


Comments


bottom of page