top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lapan kawasan kebun komuniti bandar diwujudkan oleh DBKK


14 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah berjaya mewujudkan lapan kawasan kebun komuniti bandar di sekitar bandaraya ini sebagai usaha untuk memperkasa komuniti bandar melalui aktiviti perkebunan.


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Chan Foong Hin berkata program kebun komuniti bandar atau Community Urban Farming telah digerakkan secara intensif sejak tahun 2021.


Beliau berkata program ini bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah atau ruang persekitaran dan menangani cabaran baharu kepesatan pembangunan di bandar dengan mengintegrasikan elemen pembangunan ekonomi, perkembangan sosial dan pemuliharaan alam sekitar.


"DBKK telah melancarkan Garis Panduan Kebun Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu pada April 2022 yang lalu bagi menyokong agenda ini yang mana sehingga kini telah berjaya mewujudkan lapan kawasan kebun bandar berdaftar di sekitar kawasan bandaraya Kota Kinabalu," katanya semasa merasmikan Karnival Komuniti Kebun Bandar Kota Kinabalu 2023 di Taman Ujana Tropika pada Selasa.


Beliau turut menyenaraikan lapan kawasan kebun bandar tersebut iaitu Kuarters Nurseri Likas (Kebun Komuniti Kuarters A), Nurseri Likas Komuniti (Pejabat Nurseri Likas), Taman Kuala Menggatal 4, KRT Kg. Sembulan Baru (Dalam Tabika Perpaduan A), JKDB Taman Sempelang, Grace Court Apartment Community, Taska Stella Maris dan Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru.


Beliau berkata pelaksanaan projek tersebut mampu memperkasakan usaha kerajaan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari 2030.


"Kita telah seiringkan perancangan pembangunan negara yang sentiasa bergerak ke arah kelestarian alam sekitar dan juga kehidupan rakyat sekali gus mendokong komitmen Malaysia memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals 2030," katanya.


Chan turut menekankan pentingnya hidup bermasyarakat dalam kalangan warga bandar dalam mempertingkatkan integrasi kaum dan mempromosikan budaya hidup sihat yang saling bekerjasama mewujudkan model kejiranaan.


"Bagi merealisasikan budaya bermasyarakat, program kebun komuniti ini harus diperkasakan, karnival ini misalnya, diadakan bertujuan untuk mengeratkan kerjasama yang kukuh di antara komuniti kebun bandar, pihak pelaksana dan agensi-agensi berkaitan seterusnya wujudkan satu model kejiranan yang signifikan dalam merealisasikan Liveable KK," katanya.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Selaku Penaung Program, Datuk Noorliza Awang Alip, Ketua Penolong Setiausaha (Sektor Landskap & Kelestarian) Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Nurulhayati Awang More dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Selaku Pengerusi Pelaksana Program, Robert Lipon.

bottom of page