top of page
nabalunews

Lapan Rang Undang-undang Diluluskan Dewan Rakyat Minggu Ini




6 Disember 2024


KUALA LUMPUR : Lapan rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025, diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat minggu ini, selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.


RUU itu diluluskan pada Selasa setelah tempoh perbahasan selama 12 hari dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 13 November lalu bagi setiap kementerian terlibat.


Turut diluluskan minggu ini ialah RUU Kewangan 2024, RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.


RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 turut diluluskan.


Persidangan minggu ini juga menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab beberapa isu antaranya mengenai jenayah penipuan dalam talian dan isu bencana banjir yang sedang melanda negara ketika ini.


Perdana Menteri turut menggunakan ruang itu bagi menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera kerajaan termasuk 80,000 penjawat awam yang turun membantu mangsa banjir di seluruh negara dan menganggap kerjasama padu semua pihak itu adalah satu petanda positif dalam menghadapi bencana dan malapetaka.


Sementara itu, persidangan minggu ini turut menyaksikan tiga RUU dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat iaitu RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024.


Selain itu, minggu ini juga menyaksikan Dewan Rakyat membuka lembaran baharu dalam reformasi institusi apabila buat julung kalinya Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) diberi peluang untuk membuat penerangan bagi penyata jawatankuasa masing-masing.


Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan penyata masing-masing pada sesi penerangan penyata di minggu kelapan persidangan Dewan Rakyat.


Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata sesi penerangan penyata itu bertujuan memberi pendedahan serta liputan luas kepada rakyat mengenai fungsi dan peranan JKPK dalam membincangkan isu-isu semasa.


Penggantungan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 10 hari bermula semalam, turut menarik perhatian.


Tindakan penggantungan itu dibuat

susulan kenyataan negatif Awang Hashim terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai.


Johari berkata tindakan itu diambil setelah pelbagai cara telah dibuat bagi meminta Awang memohon maaf dan menarik balik ucapan termasuk menerusi surat yang dihantar pada 22 Julai, namun tidak diendahkan.


“Kenyataan dan tindakan itu telah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipilih berdasarkan Perkara 47 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan dan menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.


“Kenyataan negatif menerusi aplikasi TikTok bukan sahaja merupakan satu dakwaan yang sangat serius, tetapi telah menyalahi hak dan keistimewaan Ahli Parlimen dan satu penghinaan kepada Dewan yang mulia ini,” katanya ketika mempengerusikan Dewan Rakyat pada Khamis.


Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari bermula 14 Oktober sehingga 12 Disember ini.

Comments


bottom of page