Laporan akhir MA63 perlu didedahkan kepada umum - Sabah PHLaporan akhir MA63 perlu didedahkan kepada umum - Sabah PH
top of page
  • nabalunews

Laporan akhir MA63 perlu didedahkan kepada umum - Sabah PH


25 Sept 2021


KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah berpendapat bahawa laporan akhir Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seharusnya didedahkan kepada umum.


Menurut Majlis itu, ini adalah peluang untuk rakyat Malaysia menghayati dan memahami kepentingan dan signifikan MA63.


“Kesilapan tafsiran sejarah dan fakta terhadap MA63 telah menjadi salah satu sebab mengapa pelaksanaan MA63 sepenuhnya masih menjadi satu cabaran meskipun setelah 58 tahun pembentukan Malaysia.


“Sudah tiba masanya pihak kerajaan persekutuan perlu mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dengan menyatakan fakta yang sebenarnya. Telah banyak kekhilafan yang dilakukan dalam perlunturan hak-hak Sabah dan Sarawak selama ini,” kata Majlis itu dalam satu kenyataan bersama, hari ini.


Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew, Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Ketua DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, dan Ketua Amanah Sabah Lahirul Latigu.


Menurut mereka, semasa pemerintahan kerajaan persekutuan PH sebelum ini, sejumlah 17 daripada 21 perkara yang dibentangkan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak menerusi mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet untuk mengkaji pelaksanaan MA63 telah dipersetujui bersama.


Manakala, baki empat perkara masih dalam perbincangan adalah isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] dan hak negeri ke atas pelantar benua.


“Ketelusan dapat dilihat bagaimana perbincangan berlangsung antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak ketika itu. Komposisi jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk juga diumumkan kepada orang ramai.


“Namun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan terhadap kerajaan persekutuan sekarang dan kerajaan PN sebelumnya. Orang ramai tidak dimaklumkan tentang kewujudan dan komposisi mana-mana jawatankuasa malah tidak ada penjelasan terperinci atau ketelusan mengenai usaha yang dilakukan untuk meneruskan pelaksanaan MA63.


“Sekarang, kerajaan ini mahu menguburkan laporan akhir MA63 di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Apa yang yang hendak disembunyikan? MA63 adalah perkara yang paling kerap kali dibincangkan secara terbuka di negara ini,” ujar mereka.


Tambah Majlis itu, menteri yang berkenaan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili yang berasal dari Sabah sendiri sepatutnya memastikan bahawa MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya, tuntutan ini adalah mustahak untuk setiap pihak berkepentingan memahami dan menyokongnya.

“Dengan bersikap telus dalam proses perlaksanaannya dan mendedahkan laporan akhir MA63 kepada umum, adalah satu peluang untuk memberi pengetahuan dan tanggapan yang penting bahawa MA63 adalah isu kepentingan nasional dan bukan hanya tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak semata-mata.


“Kejayaan untuk melaksana akan menjadi pemangkin untuk mendorong Malaysia maju kedepan dengan rakyat yang bersatu dalam memastikan para pemimpinnya terbimbing untuk memastikan kemakmuran negara tercapai seperti yang diimpikan oleh pemimpin pengasas negara ketika mereka menandatangani Perjanjian ini pada tahun 1963.”

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page