top of page
Wartawan Nabalu News

Lawak lucah bukan suatu gurauan: Pandelela


21 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong mengingatkan orang ramai bahawa lawak rogol atau berunsur lucah bukanlah bahan gurauan dan perlu diberikan perhatian serius.


Dalam ciapan Twitternya, Pandelela mendedahkan pengalamannya berlatih bersama seorang bekas jurulatih suatu ketika dahulu yang gemar membuat lawak lucah tetapi tidak pernah diambil tindakan kerana dilindungi oleh pihak berkuasa.


Sehinggalah pada suatu ketika, beliau tidak tahan dan menegur jurulatih tersebut bagaimanapun beliau sebaliknya dibuli akibat mengeluarkan teguran tersebut.


"Dulu saya ada seorang coach ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je tak pun fake laugh sebab takut dia. Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik. 7 tahun kemudian dia buat kes rogol.


"Tapi paling sedih dalam 7 tahun tu dia buat hal setiap tahun. Tapi kami atlet tak boleh buat apa, sebab backup besar dia adalah head coach kami sendiri ," katanya dalam akaun Twitternya hari ini.


Menurut pemenang pingat perak Olmpik Rio 2016 itu, pengajaran yang diperoleh daripada kisahnya itu ialah perlunya seorang pemimpin yang baik yang akan membetulkan perkara yang salah dan bukannya seorang pemimpin yang hanya menutup sebelah mata sahaja.


"Mereka yang dianiaya mesti bersuara! Suara kecil tetap penting sekiranya kita bersatu," katanya dengan tanda pagar #rapejokeisnotfunny.


Pandelela memberikan komen tersebut selepas pelakon tempatan negara Fauzi Nawawi tular di media sosial ekoran komen berbaur lucah yang dikeluarkan olehnya semasa penampilannya dalam rancangan bual bicara Rumah No. 07 baru-baru ini.

Dalam rancangan tersebut, pelakon itu mengatakan bahawa dia menikmati penggambaran adegan rogol yang dilakonkannya untuk filem Anak Halal. Bagaimnapun adegan tersebut dipotong dari suntingan akhir filem.


Berikutan penularan klip video Fauzi Nawawi dalam rancangan bual bicara itu, ramai netizen mengecam dan mengkritik tindakan artis tersebut yang tidak sensitif berkenaan isu jenaka lucah atau rogol.

Fauzi Nawawi telahpun meminta maaf atas komen yang dikeluarkannya itu.

Comments


bottom of page