#Lawan: Tanda pagar #BukaDataran di Twitter raih lebih 20,000 ciapan
31 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Tanda pagar #BukaDataran telah menjadi trending di Twitter susulan halangan peserta protes #Lawan yang berbaju hitam untuk berhimpun memasuki Dataran Merdeka oleh pihak polis pada petang tadi.
Setakat pukul 5.50 petang, jumlah tweet yang dikongsi dengan tanda pagar itu telah meraih lebih 20,000 ciapan.
Pagi tadi, penunjuk perasaan yang kebanyakanya terdiri daripada golongan belia telah berkumpul secara aman di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur bagi menuntut kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk meletak jawatan.
Difahamkan jumlah peserta hampir mencecah 2,000 dan memenuhi jalan sepanjang kira-kira 3 kilometer.
Bendera hitam yang melambangkan kekecewaan terhadap kerajaan turut dikibarkan sepanjang demonstrasi itu.
Beberapa aktivis juga dilihat berarak dengan sepanduk yang ditulis mesej-mesej seperti “Kerajaan Gagal”, “Kerajaan derhaka”, “lawan”, dan “tolak Mahiaddin".
Walau bagaimanapun, hasrat mereka terbatal apabila dihalang oleh polis atas sebab tidak mempunyai kebenaran untuk ke lokasi itu.
Mereka kemudiannya bersurai secara aman.
“Dataran Merdeka milik rakyat. Tempat tersebut suatu ketika dahulu pernah melambangkan kemerdekaan dan kebebasan negara kita.
"Oleh itu, ianya adalah milik rakyat. Dengarkanlah suara-suara rakyat,” kata seorang pengguna Twitter.
“Mereka yang membuat tunjuk perasaan dalam talian sila bantu kami dengan tweet #BukaDataran !! Rakyat mesti menang! Kita akan menang! ” kata seorang lagi pengguna.
Polis berkata pihak mereka sedang mengenal pasti para peserta yang terlibat dalam perhimpunan itu, termasuk penganjur protes, sebelum tindakan susulan diambil.
Comments