- nabalunews
Lebih 1,500 rumah setinggan dirobohkan dan akan diteruskan - Polis Sabah
31 Julai 2024
KOTA KINABALU: Lebih 1,500 rumah setinggan yang dibina di atas tanah kerajaan telah dirobohkan dalam operasi yang dijalankan di seluruh Sabah sehingga kini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya komited melaksanakan operasi itu dan akan diteruskan sehingga masalah setinggan khususnya melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah, dapat dibanteras.
"Boleh dikatakan semua daerah ada setinggan dirobohkan sama ada dalam kuantiti banyak atau satu per satu. Setakat ini, kita melaksanakan operasi perobohan biasa, tetapi kalau kita menjumpai penghuninya tiada dokumen, kita akan tangkap," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Dokumentasi Op Daulat Tanduo bertajuk "Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am: Membanteras Pengganas dan 5th Column di Kampung Tanduo" yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di sini, semalam.
Jauteh menekankan bahawa terdapat enam objektif utama dalam pelaksanaan operasi itu termasuk menjamin keselamatan Sabah dan memastikan kawasan terlibat bebas dari anasir tidak diingini.
"Selain itu, kita mahu membebaskan tanah kerajaan daripada penempatan haram, membanteras jenayah yang berlaku di kawasan ini, dan mengurangkan kadar jenayah sama ada jenayah dari segi harta benda atau narkotik," katanya.
Tambah beliau, operasi perobohan setinggan dilancarkan untuk membantu kerajaan menangani isu kecurian elektrik dan air, serta mengatasi masalah kekotoran akibat sampah sarap di penempatan terlibat.
תגובות