LEBIH 1 JUTA RAKYAT SABAH SUDAH DAFTAR PENERIMA VAKSIN COVID-19
20 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Seramai 1,006,068 orang di Sabah telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19, setakat hari ini. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu sebanyak 924,212 mendaftar melalui Mysejahtera, Laman Web (81,588) dan Talian Vaksinasi (268). Beliau berkata, jumlah itu bersamaan 36.5 peratus daripada populasi di negeri ini. “Pada hari ini sahaja seramai 7,873 individu telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19, meningkat berbanding kelmarin seramai 7,514 orang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa 1 Dos 1, Masidi berkata, setakat hari ini sebanyak 14 suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,396 orang. “Bagi Fasa 1 Dos 2 pula, tiada suntikan baharu dibuat pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kekal sebanyak 58,415 orang. “Manakala, bagi Fasa 2 Dos 1 PICK, sebanyak 16,519 suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 445,802 orang,” katanya. Katanya lagi, bagi Dos 2 Fasa 2 pula, 4,089 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 307,655 orang.
Comments