Lebih 29 ribu kes penipuan dalam talian direkodkan pada 2023
- nabalunews
- Aug 5, 2024
- 1 min read

5 Ogos 2024
GUA MUSANG: Sebanyak 29,535 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang 2023.
Pengarah Eksekutif Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) Ratna Sha’erah Kamaluddin berkata, antara jenis penipuan yang direkodkan ialah pancing data, panggilan telefon, percintaan dan e-dagang.
Beliau berkata, untuk kes membabitkan penipuan panggilan telefon yang banyak berlaku, mangsa dihubungi secara rawak dan diberitahu mereka mempunyai tunggakan saman, bayaran bil perubatan dan penghantaran bungkusan.
“Mereka (individu terlibat dengan penipuan) adalah terlatih bagi memanipulasi mangsa dari segi emosi untuk mencetuskan rasa takut dan panik serta memperdaya sehingga mereka (individu yang ditipu) menyerahkan wang atau maklumat sulit,” katanya pada sesi penerangan dan pocket talk.
Program itu bersempena penganjuran Program Budi MADANI@JaPen di Dataran Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Sungai Asap di sini semalam.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) mengadakan program khas berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai salah guna media sosial dan ancaman keselamatan dalam talian kepada orang ramai.
Comments