- nabalunews
Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula
12 Ogos 2024
PUTRAJAYA: Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata terdapat undang-undang di negara ini yang dirangka sebelum zaman kemerdekaan dan kini dilihat tidak lagi menepati keperluan masa kini.
"Contohnya dalam isu dunia digital, undang-undang yang ada sekarang mungkin tidak boleh lagi terpakai atau perlu dipinda supaya sesuai dengan situasi yang ada," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian kepada media
selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), di sini, hari ini.
Media baru-baru ini melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sudah memanggil Ketua Setiausaha dan penasihat undang-undang setiap kementerian untuk melihat semula akta sedia ada yang mungkin tidak sesuai pada masa ini.
Langkah itu, katanya, perlu untuk membincangkan undang-undang yang tidak lagi relevan atau sesuai dengan era digital dan perlu ditambah baik supaya seiring dengan peredaran masa.
Azalina berkata, pihaknya akan menyenaraikan lebih 3,000 undang-undang yang dianggap lapuk untuk perhatian Perdana Menteri sebelum mengambil tindakan lanjut.
"Mungkin kita perlu menyediakan kertas ke Jemaah Menteri, senaraikan undang-undang (lapuk) ini dan mencadangkan penubuhan jawatankuasa Kabinet khas untuk menilai, kerana undang-undang ini membabitkan semua agensi termasuk kerajaan negeri, Kerajaan Pusat dan kerajaan tempatan," katanya.
Azalina berkata, kajian mengenai undang-undang lapuk itu perlu membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman dan universiti yang mempunya fakulti undang-undang dan kepakaran untuk menilai.
Comments