top of page

Lebih 30,000 pekebun kecil sawit Sabah capai pensijilan MSPO

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 3 min read

ree

21 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah, meliputi lebih 191,000 hektar ladang, telah memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat April 2025.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini mewakili kadar pensijilan sebanyak 97.62 peratus, iaitu antara yang tertinggi di negara ini.


“Pencapaian ini melambangkan kemajuan kolektif kita dan kepentingan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, pemain industri, dan komuniti pekebun kecil,” katanya pada Forum Minyak Sawit Malaysia Timur (EMPOF2025) di Hotel Marriot, di sini hari ini.

ree

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.


Ketua Menteri berkata, dalam menghadapi tekanan global untuk rantaian bekalan bebas pembalakan, adalah penting bagi Malaysia meningkatkan usaha pensijilan dan kebolehkesanan untuk mengekalkan pengiktirafan dan kredibiliti di mata pihak berkepentingan, sama ada di dalam mahupun luar negara.


“Di Sabah, kita telah mencapai kemajuan di mana kira-kira 97 peratus kawasan tanaman

dan lebih 92 peratus di Sarawak kini telah disijilkan di bawah MSPO. Namun begitu, kita mesti berusaha mencapai 100 peratus, khususnya melibatkan Pekebun Kecil Persendirian.

ree

“Kita sedar sepenuhnya cabaran yang dihadapi industri. Memenuhi piawaian global yang sentiasa berubah, memastikan kelestarian alam sekitar, dan berdepan tekanan pasaran memerlukan tindakan proaktif serta inovatif,” katanya.


Sehubungan itu, Hajiji menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri telah melaksanakan penyelesaian transformasi yang dikenali sebagai Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Mampan (JASPO).


Dilancarkan pada tahun 2015, inisiatif JASPO menetapkan sasaran berani untuk mencapai 100 peratus pengeluaran minyak sawit mampan di seluruh negeri menjelang 2030.


Menurutnya, pendekatan ini bukan sekadar pentadbiran, sebaliknya ia merupakan mekanisme tadbir urus yang membolehkan semua pemain dalam rantaian nilai sawit bekerjasama di bawah satu kerangka bersama.


“Ia menyelaraskan aspirasi Sabah dengan piawaian nasional dan antarabangsa seperti MSPO, RSPO dan Peraturan Pembalakan EU (EUDR), serta memastikan tiada pihak berkepentingan tercicir, khususnya pekebun kecil yang menyumbang lebih 27 peratus daripada pengeluaran Sabah,” katanya.


Hajiji berkata, Sabah terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dengan 1.48 juta hektar kawasan tanaman serta pengeluaran tahunan melebihi 4.2 juta tan metrik minyak sawit mentah (CPO).


Katanya, Sabah dan Sarawak secara bersama menyumbang lebih 55 peratus daripada jumlah kawasan sawit negara, sekali gus membentuk kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia serta sumber utama rantaian bekalan yang mampan dan diurus secara bertanggungjawab.


Namun, kejayaan ini bukanlah berlaku sekelip mata, sebaliknya hasil daripada puluhan tahun kerja keras, ketabahan serta kerjasama merentasi rantaian bekalan daripada pekebun kecil, pengilang, penapis, pedagang, penyelidik hingga ke pembuat dasar, katanya.


“Lebih penting lagi, ia merupakan bukti komitmen bersama kita dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan kemajuan sosial,” katanya.


Bagaimanapun, Hajiji menegaskan ia bukan sekadar kisah mengenai keluasan hektar atau jumlah tan, tetapi lebih utama ialah kisah perubahan kehidupan.


“Di seluruh Malaysia, industri sawit secara langsung dan tidak langsung menyara kehidupan lebih 300,000 rakyat Malaysia serta menyokong lebih 85,000 pekebun kecil.


“Melangkaui angka ekonomi, ia telah mengubah landskap luar bandar dengan membawa pembangunan infrastruktur penting, daripada jalan raya dan sekolah yang lebih baik kepada klinik serta rangkaian digital. Di kawasan yang dahulunya terhad peluang, kini muncul kemajuan serta janji masa depan yang lebih cerah,” katanya.


Ketua Menteri yakin bahawa melalui pelaburan strategik, tadbir urus kukuh, dan penglibatan berterusan dengan pihak berkepentingan, industri ini akan terus berkembang serta membina sektor sawit yang bersedia untuk masa depan, memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga di peringkat global.


“Marilah kita terus bekerjasama dan memperjuangkan inovasi, memperkasa komuniti luar bandar, serta memelihara alam sekitar agar legasi yang kita tinggalkan bukan sekadar kemajuan ekonomi semata-mata, tetapi kemajuan yang bermakna dan

berimpak untuk generasi akan datang,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page