Lebih 5,000 rakyat Kadamaian raikan Krismas, Tahun Baharu bersama Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih 5,000 rakyat Kadamaian raikan Krismas, Tahun Baharu bersama Ewon


Ewon dan isterinya Datin Connie bergambar bersama Kumpulan Bamboo Beat Kiau.

6 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Lebih 5,000 orang hadiri Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2023 anjuran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, di l Kadamaian Square Taginambur, di sini, hari ini.


Apa yang lebih menarik, program ini turut disertai para peniaga kecil-kecilan yang berniaga di Tamu mingguan Taginambur.



Para peniaga itu menjual hasil-hasil pertanian seperti sayur-sayuran, ayam, makanan tradisi dan pelbagai lagi.


Selain dapat meraikan para pengunjung, program ini secara tidak langsung dapat membantu para peniaga kecil khususnya di Kadamaian untuk berniaga dengan skala kehadiran pembeli yang ramai.


Ewon berkata, berkata sebanyak RM1 juta peruntukan disediakan untuk Pembangunan Fasa 3 Tamu Kadamaian yang akan disalurkan melalui Pejabat Daerah Kota Belud, tahun ini.


Ewon melayan tetamu yang hadir pada majlis itu.

Peruntukan itu akan digunakan untuk pembinaan parit di kawasan tamu mingguan Taginambur, taman permainan, kawasan tempat letak kereta, pemasangan lampu solar dan pembangunan-pembangunan lain di kawasan ini.


“Ini adalah komitmen dan tanggungjawab berterusan saya untuk rakyat Kadamaian yang telah memberikan mandat kepada saya sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.


Ewon bergambar bersama kumpulan Koir.

Beliau juga mahu kesemua 10 agensi di bawah kementerian itu memberikan perkhidmatan kepada rakyat Sabah.


Katanya, 10 agensi di bawah kementerian itu antaranya Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), UDA Holdings Berhad dan Pernas.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2023, di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, hari ini.


Ewon bergambar bersama tetamu-tetamu jemputan yang hadir pada majlis itu.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, KUSKOP bertanggungjawab mengenai hal-hal pembangunan perusahaan Mikro, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), penjaja dan para peniaga kecil-kecilan di tamu-tamu.


“Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa, tanpa mengurangkan fokus kementerian sedia ada di seluruh negara, saya akan memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dan fokus istimewa untuk rakyat Kadamaian dan Penampang,” katanya.


Persembahan menarik daripada Bamboo Beat Kiau.

Sementara itu Pengerusi Penganjur Carlye Lajimin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon dan semua yang terlibat menjayakan majlis itu.


“Program seumpama ini memberi peluang terbaik kepada rakyat dan pemimpin berinteraksi selain mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin,” katanya.


Persembahan menarik daripada kumpulan koir gereja.

bottom of page