Lebih banyak pelaburan berimpak tinggi disasarkan pada 2023
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih banyak pelaburan berimpak tinggi disasarkan pada 2023


25 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah berhasrat untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi pada tahun 2023 dengan mengenal pasti beberapa sektor pelaburan berpotensi tinggi yang boleh dimanfaatkan oleh negeri ini.


Ini adalah berdasarkan strategi-strategi yang telah dirangka oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan (KPPK) dan agensi-agensi lain.


Menteri KPPK Phoong Jin Zhe berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) untuk mempromosikan pelaburan berasaskan teknologi hijau, industri hiliran berasaskan sumber tersedia di Sabah, industri tenaga boleh diperbaharui dan industri berasaskan penggunaan tenaga yang rendah.


“Ia termasuk pelaburan berasaskan teknologi hijau; pelaburan dalam industri hiliran berasaskan sumber tersedia di Sabah; pelaburan dalam industri tenaga boleh diperbaharui (renewable energy); dan pelaburan dalam industri berasaskan penggunaan tenaga yang rendah (Low energy intesity industry),” katanya.


Phoong yang juga ADUN Luyang berkata demikian dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 Penggal Keempat di sini, hari ini.


Sementara itu, beliau juga menyentuh tentang isu bekalan air yang digunakan oleh pelabur dan pengguna domestik.


Beliau berkata, Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembekalan Industrial Water (air bersih tidak terawat) atau non portable water di taman-taman perindustrian oleh syarikat Jetama Sdn Bhd.


“Kajian ini sedang dijalankan oleh pihak Jetama dan dijangka akan siap pada tahun ini (2023). Sekiranya pembekalan industrial water ini dapat direalisasikan maka ianya sedikit-sebanyak dijangka mampu untuk mengurangkan masalah bekalan air kepada pengguna domestik di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sipitang,” tambahnya.


Selain itu, beliau berkata, KPPK turut komited dalam membangunkan usahawan-usahawan serta peniaga-peniaga kecil di Sabah melalui pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).


“Misi Kementerian saya adalah untuk menggalakkan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai industri sokongan utama dan pemangkin kepada pembangunan industri pembuatan. Pelbagai program dan inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini dan salah satu inisiatif yang telah dirancang adalah menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page