Lelaki Asing Maut Ditikam, Polis Buru Suspek
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 3 Julai – Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Iramanis, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Pemangku Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.23 pagi selepas mangsa, 34, ditemukan meninggal dunia di dalam lubang pembetung (manhole) berhampiran lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek dipercayai keluar bersama untuk minum minuman keras di kawasan Penampang sebelum pulang ke rumah kongsi sekitar jam 11 malam.
“Pergaduhan dipercayai tercetus akibat salah faham ketika kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk. Mangsa dikatakan memukul suspek menggunakan sebatang kayu sebelum suspek bertindak menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan pisau pemotong sayur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Katanya, polis kini giat mengesan suspek serta senjata yang digunakan dalam kejadian itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Polis Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.















Comments