Warga IPD Kota Belud Didedahkan Dengan Jenayah Akaun Keldai dan Penipuan Kewangan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 3 Julai – Seramai 32 warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menghadiri Ceramah Jenayah Korporat/Kewangan yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan IPD Kota Belud di Dewan Sri Nabalu, IPD Kota Belud pada 1 Julai lalu.
Ceramah yang disampaikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Kota Belud itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai jenayah akaun keldai (mule account) serta pelbagai bentuk penipuan kewangan yang boleh melibatkan penjawat awam.
Antara topik yang dikupas termasuk modus operandi penipuan projek, penipuan bersemuka, salah guna harta, pemalsuan, pecah amanah serta penyalahgunaan akaun peribadi untuk kegiatan jenayah.
Peserta turut didedahkan dengan jenis kesalahan dan peruntukan undang-undang di bawah jenayah komersial, selain diingatkan supaya tidak membenarkan akaun peribadi digunakan sebagai akaun keldai.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan dengan saluran bantuan yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), termasuk sistem Semak Mule, CCID Infoline, National Scam Response Centre (NSRC) 997 dan platform media sosial rasmi JSJK bagi mendapatkan maklumat berkaitan jenayah komersial.















Comments