Lelaki Cedera Dipatuk Ular Tedung
- nabalunews
- Jun 15
- 1 min read

15 Jun 2025
KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera selepas dipatuk ular tedung dalam kejadian di kawasan tandas Taman Awam Pantai Tanjung Aru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 30-an itu dikatakan pergi ke kawasan berkenaan untuk mengambil air wuduk.
Bagaimanapun, sebaik serangan haiwan berbisa berkenaan, mangsa terpaksa mendapatkan bantuan daripada Petugas Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru, yang memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu kepada petugas MPP Tanjung Aru.
Katanya, anggota bertugas segera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 200 meter untuk membuat pemeriksaan awal terhadap mangsa.
"Hasil penilaian mendapati ada kesan patukan ular pada ibu jari kaki kanan mangsa. Mangsa memberitahu bahawa ular yang mematuknya berwarna hitam dan mengeluarkan bunyi dengusan.
"Berdasarkan keterangan itu, anggota bertugas mengenal pasti ular berkenaan sebagai spesis ular tedung atau 'spitting cobra'," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian memberikan rawatan awal dengan membersihkan luka akibat patukan ular.
"Dalam masa yang sama menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu untuk meminta bantuan menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) menggunakan ambulans APM.
"Setiba di hospital mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Comments