top of page

Lelaki didakwa bunuh ibu kandung di Tambunan

nabalunews
1 hour ago
1 min read

Oleh Romie Stanley DGuns

 

KENINGAU, 24 Sept: Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan, awal bulan ini.

 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap ibunya yang berusia 56 tahun kira-kira jam 2 petang pada 11 September lalu.

 

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Flavian Edward Henry. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

 

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Polis (ASP) Daniel Dominic.

 

Menurut maklumat siasatan polis, mayat mangsa ditemukan di rumah sewa berkenaan pada 11 September lalu dengan kecederaan parah pada bahagian perut yang dipercayai akibat tikaman senjata tajam.

 

Suspek kemudian dikesan oleh penduduk kampung di sebuah pondok tradisional atau sulap di Kampung Sukung, Tambunan, sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan dan diserahkan kepada polis.

 

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir, sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dengan mangsa. Polis turut merampas beberapa barang kes, termasuk sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page