top of page

SMJ 2.0 berada di landasan kukuh – Aksyah

nabalunews
5 hours ago
2 min read


24 September 2026


KOTA KINABALU: Pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 kini berada di landasan kukuh hasil fokus dan ketegasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam menstruktur semula ekonomi negeri, kata Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah.


Beliau berkata, melalui kepimpinan Hajiji, hasil bumi Sabah kini diuruskan secara lebih mandiri menerusi agensi negeri seperti SMJ Energy (SMJE), sekali gus membawa pulangan dividen kepada kerajaan negeri untuk pembangunan rakyat di seluruh Sabah, termasuk kawasan luar bandar seperti Kinabatangan.


“Melalui ketegasan kepimpinan beliau, hasil bumi Sabah tidak lagi tiris, sebaliknya diuruskan secara mandiri menerusi agensi seperti SMJ Energy yang berjaya membawa pulangan dividen tunai ratusan juta ringgit terus ke kantung negeri demi pembangunan rakyat di seluruh wilayah, termasuk di luar bandar seperti Kinabatangan,” katanya dalam hantaran di Facebook.


Aksyah berkata, di sebalik prestasi ekonomi yang disifatkannya semakin baik, pembangkang didakwa terus mengamalkan ‘politik mata lalat’, iaitu hanya mencari, menghidu dan membesar-besarkan ruang kekurangan yang kecil, sambil membutakan mata terhadap kemajuan yang sedang dibina.


Beliau turut menyifatkan tindakan penyokong pembangkang menerbitkan poster suntingan replika patung menyerupai Hajiji sebagai “sangat biadap, kebudak-budakan dan amat memalukan”.


“Jelas mereka sudah muflis idea untuk berdebat mengenai angka pelaburan, dasar struktur grid tenaga dan pengurusan hasil minyak dan gas. Kini mereka beralih kepada manipulasi siber yang dangkal,” katanya.


Menurutnya, naratif berkenaan sengaja diulang oleh pembangkang dengan harapan rakyat Sabah mudah dipengaruhi oleh momokan emosi dan dakwaan yang tidak berasas.


Aksyah berkata, tumpuan sedemikian juga didakwa bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada usaha kerajaan negeri menangani isu asas seperti bekalan air dan jalan raya.


“Meskipun ini adalah peninggalan legasi kerosakan dasar zaman pemerintahan mereka sendiri, Hajiji tidak terganggu sedikit pun. Beliau terus mengorak langkah kukuh untuk mencapai setiap inci dan sudut kemajuan yang telah digariskan di dalam Hala Tuju SMJ 2.0,” katanya.


Beliau berkata, kegigihan dan pencapaian Hajiji menyebabkan pembangkang semakin lantang mengkritik kerajaan, selain mendakwa mereka tidak mempunyai rekod pentadbiran yang lebih baik ketika mempunyai peluang memerintah sebelum ini.


“Saya yakin, rakyat Sabah hari ini bukan lagi golongan yang mudah diperbodohkan oleh poster provokasi murahan.


“Biarlah pembangkang terus hanyut dengan cara kerja kebudak-budakan mereka, manakala kepimpinan hari ini terus gigih memacu momentum SMJ 2.0 demi masa depan Sabah yang berdaulat dan dihormati,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page