top of page

Lelaki ditahan selepas cederakan anak dan ugut isteri

  • nabalunews
  • Feb 22
  • 1 min read

21 Februari 2025


TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis, kelmarin, selepas dipercayai mencederakan anaknya serta mengugut isterinya dalam kejadian di Taman Semarak, di sini, 27 Disember lalu.


Lelaki berusia 39 tahun itu dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan permohonan cerai dan tuntutan fasakh yang dibuat oleh isterinya.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dikatakan sering mengganggu mangsa sejak permohonan berkenaan dikemukakan.


Katanya, dalam kejadian terbaru, suspek bertindak agresif dengan mencekik anak mereka sebelum mengugut mahu mencederakan isterinya.


“Mangsa yang ketakutan segera membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan dan bertindak atas maklumat serta risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan suspek.


“Suspek yang juga seorang warga asing berusia 40-an berjaya ditahan pada jam 2.20 petang di sekitar bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 326A akta sama kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.


Sehubungan itu, Jasmin berkata, pihak polis amat memandang serius berkaitan kes keganasan rumah tangga.


Katanya, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan ahli keluarga mereka.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page