Lelaki ‘jogging’ awal pagi cedera dirempuh kereta
- nabalunews
- Jun 9, 2025
- 1 min read

9 June 2025
TAWAU: Seorang lelaki cedera di kepala selepas tercampak ke dalam parit akibat dirempuh Toyota Hilux dalam kejadian di Batu 3 Jalan Apas, pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, mangsa sedang ‘jogging’ dari arah Mc Donald menuju ke Bandar Sri Indah bersama sekitar 20 orang rakannya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa, 34, mengalami pendarahan di kepala dalam insiden itu dan masih menerima rawatan di wad pembedahan lelaki Hospital Tawau, namun dilaporkan stabil.
Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian pada jam 4.15 pagi melibatkan seorang pejalan kaki yang dilanggar kereta Toyota Hilux berwarna ‘bronze mica’tetapi nombor kenderaan tidak diketahui.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya mendahului 20 yang lain dalam aktiviti tersebut.
“Apabila tiba di Batu 3 Jalan Apas berhadapan premis Cheese Garden, mangsa yang berada di sebelah kanan jalanraya di rempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta,”katanya lagi dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, mangsa tercampak ke dalam parit konkrit di sebelah kiri jalan dan mengalami kecederaan.
Ketika ini, katanya,polis sedang giat mengesan pemandu kereta tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Asisten Superintendan Joan Lee di talian 019-8537100.
Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari bangunan premis berhampiran tempat kejadian memaparkan detik-detik mangsa dirempuh sebelum tercampak ke dalam parit, manakala, pemandu kereta terus memecut laju melarikan diri.















Comments