Lelaki lemas semasa aktiviti "rafting"
- nabalunews
- 51 minutes ago
- 1 min read

16 Januari 2026
NABAWAN: Seorang lelaki dilaporkan lemas semasa menjalankan aktiviti "rafting" di kawasan Kabulongou Earth, Sepulut, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Rudi Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 53 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kejadian berikutan laluan sempit serta keadaan jalan yang tidak berturap.
“Setibanya di lokasi pada jam 2.45 petang, Komander Operasi melaporkan seorang mangsa telah terjatuh ke dalam sungai semasa melakukan aktiviti rafting.
“Mangsa kemudiannya ditemui oleh orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari sungai sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang melibatkan seramai 12 anggota BBP Nabawan bersama dua jentera iaitu CFRT dan Vigo itu turut dibantu oleh agensi lain termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.


















Comments