Lelaki miliki bakakuk dan 5 butir peluru ditahan di Jalan Merotai - Dumpas
19 Oktober 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seorang lelaki warga tempatan, 30an, yang membawa senapang patah jenis bakakuk dan lima butir peluru ditahan polis di tepi Jalan Merotai - Dumpas sekitar jam 2.50 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan l hasil maklumat awam.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah untuk memiliki senjata tersebut.
"Senjata api ini sering digunakan untuk memburu dan boleh mendatangkan bahaya sekiranya jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata, tangkapan itu merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya untuk membanteras pemilikan senjata api haram di kawasan pedalaman, khususnya yang sering dikaitkan dengan aktiviti pemburuan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa kebenaran dan jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti berkaitan pemilikan senjata api tanpa lesen demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini sentiasa terjamin.
댓글