top of page

Lelaki pukul dan ugut isteri ditahan kurang 24 jam selepas laporan dibuat

  • nabalunews
  • Jun 4
  • 1 min read


ree

4 June 2025


TAWAU: Tindakan agresif seorang lelaki memukul dan mengugut isterinya membawa padah apabila dia berjaya ditahan kurang 24 jam dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat mangsa yang juga isteri suspek.


Katanya, kejadian dikatakan berlaku jam 7.13 malam selepas mangsa mengesyaki suaminya mengambil barang terlarang iaitu syabu.


"Suspek kemudian bertindak agresif dan cuba mengancam untuk menikam mangsa menggunakan sebilah gunting beberapa kali serta memukul mangsa dengan gitar elektrik di bahagian bahu kanan.


"Malah, suspek juga turut dipercayai membocorkan keempat-empat tayar kenderaan milik mangsa bagi menghalangnya daripada pergi ke balai polis untuk membuat laporan,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, polis menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Bombalai sekitar jam 10.25 malam dan seterusnya memberkas suspek di hadapan rumahnya sekitar jam 11.35 malam.


Tambahnya, pasukannya turut merampas kesemua barang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu seperti sebuah gitar elektrik dan sebilah gunting yang dibuang suspek di tepi jalan berhampiran rumah.


Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.


Mengulas lanjut, Jasmin berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan keganasan rumah tangga, apatah lagi melibatkan penggunaan senjata yang boleh mencederakan orang awam.


Beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa penderaan atau ugutan dalam rumah tangga, sebaliknya segera membuat laporan polis agar tindakan undang-undang dapat diambil.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page