Lelaki tumbuk isteri kerana lambat buka pintu bilik
- nabalunews
- Aug 16, 2025
- 1 min read

16 Ogos 2025
TAWAU: Hanya kerana lambat membuka pintu bilik, seorang lelaki tergamak menumbuk isterinya hingga lebam dalam kejadian di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, semalam.
Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 30-an terbabit membawa padah apabila diberkas susulan laporan polis dibuat isterinya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, lelaki warga asing terbabit ditahan sekitar jam 1.50 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau.
Menurutnya, suspek disyaki menumbuk mangsa berusia 50-an selepas berang kerana isterinya dikatakan lambat membuka pintu bilik sewa mereka dalam kejadian sekitar jam 12.01 tengah malam.
"Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kesakitan dan lebam di lengan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Champin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mengulas lanjut, beliau berkata polis memandang serius kes keganasan rumahtangga dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar menyelesaikan pertikaian secara berhemah dan tidak mengambil tindakan yang boleh mencederakan pasangan.
"Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes keganasan rumahtangga diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan segera diambil,"katanya.















Comments