Lima Projek JALB Tuaran Diberi Keutamaan, Madius Seru KKDW Masukkan Naik Taraf Jalan Pekan Nabalu – Giok – Nadau – Sinulihan - Pahu
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

4 Mac 2026
TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, memaklumkan lima projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) telah diluluskan di kawasan Parlimen Tuaran dengan kos keseluruhan RM197.8 juta.
Menurutnya, perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menjawab soalan bukan lisan yang dikemukakannya pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas Tahun 2026.
“Menurut jawapan kementerian, projek-projek yang diluluskan melibatkan pembinaan Jalan Berungis–Mengkobong–Marabahai, pembinaan Jambatan Sungai Tuaran dari Pekan Kiulu ke Kampung Bayag, naik taraf Jalan Saradan Penimbawan Fasa II, Jalan Tudan–Poring–Tebobon serta Jalan Mantob Gonipis Tebobon Fasa 2.
“Projek-projek ini amat penting untuk memperkukuh akses penduduk ke pusat ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Ia juga membantu merancakkan aktiviti pertanian serta pelancongan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu menyeru agar KKDW turut memberi perhatian kepada keperluan mendesak untuk menaik taraf Jalan Pekan Nabalu – Giok – Nadau – Sinulihan Kiulu.
Beliau menegaskan bahawa naik taraf jalan tersebut amat penting bagi memudahkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Nabalu yang telah lama tertangguh.
“Kita berterima kasih atas kelulusan terhadap lima jalan, namun saya mohon agar Jalan Pekan Nabalu – Giok – Nadau – Sinulihan - Pahu turut disenaraikan sekaligus diluluskan untuk dinaik taraf.
“Saya telah memohon agar jalan ini diberi keutamaan sejak dari awal lagi kerana ia adalah laluan penting terutama dalam memastikan kelancaran pembinaan SMK Nabalu yang sudah lama tertangguh.
“Tanpa akses jalan yang baik, pelaksanaan projek sekolah ini akan terus berdepan cabaran logistik,” katanya.















Comments