Lima usahawan TikTok Shop terima Anugerah Usahawan Aspirasi Sabah 2025
- Wartawan Nabalu News
- 6 hours ago
- 2 min read

15 Mei 2025
KOTA BELUD: Lima usahawan TikTok Shop Sabah menerima Anugerah Usahawan Aspirasi Sabah 2025 sempena Karnival TEKUN Madani, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, sebagai pengiktirafan kepada usahawan TEKUN yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam keusahawanan digital menerusi platform TikTok Shop.
Ewon berkata, anugerah itu bertujuan meraikan semangat keusahawanan digital, mengiktiraf peralihan serta adaptasi para usahawan terhadap trend pemasaran dalam talian.
“Saya berharap, anugerah ini akan menjadi motivasi dan pendorong lebih ramai usahawan untuk terus berinovasi, berdaya saing secara sihat, dan mengukuhkan kerjasama antara TikTok Shop dan TEKUN Nasional.
“Ini juga membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa komuniti usahawan tempatan,” katanya dalam kenyataan media selepas majlis penyampaian anugerah itu, hari ini.
Penerima Anugerah Usahawan Aspirasi Sabah 2025, dimenangi oleh Sharphinosbrand, Queyun Tuhau, Sambal MENAQ dan Atiya Hijab. Manakala Kita Shop Sabah menerima Anugerah Bintang Sabah 2025.
Sharphinosbrand dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Aspirasi Sabah 2025 selepas berjaya mengadakan siaran langsung dua kali sehari secara konsisten, mencatat lebih 140 sesi ‘live’ sepanjang Mac hingga April tahun ini.

Queyun Tuhau pula menerima anugerah selepas berjaya meraih lebih 300,000 interaksi menerusi siaran langsung dan video pendek.
Sambal MENAQ, mencatat lebih 170,000 tontonan hanya menerusi dua video dalam tempoh dua bulan tersebut.
Anugerah keempat diberikan kepada Atiya Hijab yang berjaya menghasilkan lebih 100 video antara Mac dan April 2025.
Kita Shop Sabah menerima Anugerah Bintang Sabah 2025 selepas mencapai prestasi terbaik secara keseluruhan, termasuk jualan tertinggi dan kejayaan menjual lebih 4,000 unit produk dalam tempoh yang sama.
Karnival TEKUN Madani merupakan inisiatif TEKUN Nasional dengan kerjasama TikTok Shop bagi memperkasa usahawan kecil serta komuniti luar bandar.
Pelbagai program dan aktiviti menarik telah disusun sepanjang tiga hari acara, termasuk jualan langsung TikTok Shop, pameran perniagaan, bimbingan keusahawanan, permainan tradisional dan sesi ‘happy hour’.
Ewon berkata, karnival ini bukan sahaja menjadi platform penting untuk memupuk semangat keusahawanan dan celik digital, tetapi juga bertujuan merapatkan jurang antara perniagaan tradisional dan digital, terutama dalam kalangan usahawan kecil luar bandar.
Comments