LIPUTAN JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI LUAR BANDAR SABAH DIBERI PERHATIANLIPUTAN JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI LUAR BANDAR SABAH DIBERI PERHATIAN
top of page
  • nabalunews

LIPUTAN JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI LUAR BANDAR SABAH DIBERI PERHATIAN



22 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memberikan tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan menggunakan pelbagai teknologi di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar Sabah.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakubah Khan berkata, di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), penambahbaikan infrastruktur digital yang dilaksanakan secara berfasa akan memberikan kualiti pengalaman yang sama rata antara kawasan bandar dan luar bandar.


Beliau berkata penambahbaikan itu selaras dengan perancangan Kementerian menjadikan perkhidmatan telekomunikasi sebagai salah satu utiliti awam selepas air dan elektrik.


“Sasaran fasa pertama yang kini telah bermula sehingga tahun 2022 ialah, penambahan daripada 4.95 juta premis kepada 7.50 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.


“Perluasan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan yang berpenduduk serta mempertingkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama Datuk Mohamaddin Ketapi pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Adun Segama bertanya apa status kerjasama bersama kerajaan persekutuan bagi mempercepatkan proses naik taraf kemudahan internet dan capaian telekomunikasi di kawasan luar Bandarbdan pedalaman Sabah.


Yakubah berkata, bagi meluaskan rangkaian gentian optik, sebanyak 190,115 premis akan disediakan akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.


“Untuk perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula, sejumlah 423 menara baharu akan dibina, manakala sebanyak 2,221 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf kepada teknologi 4G.


“Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini sehingga 2022,” katanya.


bottom of page