top of page
Farah Salim

Logo PN menjadi isu antara BN dan Bersatu


1 Nov 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Exco Armada Bersatu Negeri Selangor, Khidir Jamil membidas dakwaan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang menyatakan Bersatu takut untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) semasa Pilhanraya Negeri (PRN) Melaka.


Menurut Khidir, dakwaan itu adalah sesuatu yang tidak berasas, malah Bersatu telah menjalankan pelbagai program kemasyarakatan atas nama PN dan bendera PN turut digunakan oleh Bersatu di Melaka.


“Jika kita takut bawa logo PN, mustahil hingga ke hari ini kita masih mampu berdiri menghidupkan pelbagai program kemasyarakatan atas nama yang sama, malah bendera PN megah terpacak di setiap sudut negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau juga menepis dakwaan Isham bahawa agenda Bersatu ialah untuk memecahkan undi Melayu di Melaka, sambil mengatakan tindakan UMNO yang sering bertukar kenyataan dan menunding jari diatas perpecahan pengundi di Melaka menunjukkan bahawa parti itu sudah hilang kemudi dan arah tujuan.


“Janganlah menuding jari Bersatu sebagai sebab pecah undi Melayu pula, persoalan saya adakah UMNO masih layak menerima undi dari Melayu? Kerana merekalah punca berlakunyu PRN Melaka ini.


“Maka siapa punca undi melayu pecah sebenarnya?,” balas Khidir terhadap kenyataan Isham semalam.


Ketua Penerangan BN itu semalam dalam sosial media Facebooknya mendakwa bahawa Bersatu sudah goyang dan tidak pasti untuk menggunakan lambang apa dalam PRN Melaka kali ini.


Menurutnya, jika Bersatu guna lambang PAS, besar kemungkinan orang bukan Melayu tidak akan undi mereka dan jika mereka guna lambang PN pula, mereka akan hilang undi Melayu PAS.


"Sekali lagi mereka akan bantu Pakatan Harapan (PH) untuk menang dengan pecahkan undi Melayu seperti yang mereka telah buat semasa PRU-14 yang lepas,” katanya.

Comments


bottom of page