top of page

Lori trailer rempuh Toyota Hilux di Jalan Tamparuli-Kundasang, seorang maut

  • nabalunews
  • Mar 31
  • 1 min read

31 Mac 2025


TAMPARULI: Seorang lelaki berusia 43 tahun maut selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan Toyota Hilux di Kampung Minangkop, Tamparuli, pagi tadi.


Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima kecemasan melalui MERS999 pada jam 7:27 pagi sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran ke lokasi kejadian, yang terletak 25 kilometer dari balai. Jentera pertama tiba pada jam 8:00 pagi.


Komander Operasi, PBK I Mahmud Jumah, melaporkan bahawa kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori treler yang merempuh Toyota Hilux sebelum melanggar tiang elektrik.


“Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam Toyota Hilux. Pasukan Bomba berjaya mengeluarkan mangsa dengan bantuan jentera towing,” katanya.


Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.


Operasi menyelamat yang melibatkan sembilan anggota bomba dari BBP Tuaran turut dibantu oleh tiga ambulans, dua anggota PDRM, dan dua petugas dari Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).


Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1:20 petang, dan pasukan bomba kembali ke balai selepas memastikan keadaan selamat.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page